ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP memeriksa aksesori jenama Chanel tiruan. FOTO ihsan KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


TINDAKAN pemilik kiosk menjual pelbagai aksesori aksesori jenama ‘Chanel’ tiruan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Difahamkan, peniaga wanita tempatan berusia 41 tahun itu menyewa dua kiosk berbeza untuk menjalankan perniagaan berkenaan selama seminggu sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu dijalankan hasil maklumat dan aduan pemilik cap dagang jenama berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis aksesori tiruan seperti rantai, gelang tangan, anting-anting dan kerongsang di dua kiosk berasingan yang dimiliki peniaga sama.

“Semua barangan dianggarkan berjumlah RM6,670 itu disita untuk tindakan lanjut,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu membekalkan atau menawarkan barang dagangan palsu.

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Azman berkata, pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan membeli barangan tiruan yang merugikan diri.

“Pengguna perlu bijak membezakan barangan asli dan tiruan malah KPDNHEP menggariskan ciri-ciri barangan tiruan antaranya harga murah, pembungkusan tidak menarik dan bahan berkualiti rendah.

“Malah, ia juga tiada jaminan kualiti atau keselamatan selain tidak tahan lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:08 PM