Nur Saliawati Salberi


DUA wanita warga Indonesia dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini, selepas mengaku bersalah menjalankan aktiviti pelacuran, dua minggu lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Renny, 25, dan Hardiyanti, 33.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di dalam bilik bernombor empat dan enam di sebuah hotel di Jalan Munshi Abdullah, kira-kira jam 2.30 petang, pada 14 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh, selain meminta mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tanggungan di kampung halaman.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan bermula dari tarikh jatuh hukum.

Terdahulu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim, seorang lagi wanita warga Indonesia, Nurma Linda, 31, didenda RM2,300 selepas mengaku bersalah turut terbabit dalam aktiviti persundalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:23 PM
TERTUDUH ketika hadir di mahkamah. FOTO Rasul Azli Samad