NORDIN (kanan) menunjukkan bunga api dan mercun kepada Mohd Yusoff (tengah) dan Khon Chiang (kiri) pada sidang media di IPD Batu Pahat, hari ini. Foto FARID NOH
Mohamed Farid Noh


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas bunga api dan mercun bernilai RM1.6 juta di sebuah rumah banglo dan rumah teres di Yong Peng, Batu Pahat dalam dua serbuan berasingan, Isnin lalu.

Dalam serbuan masing-masing jam 10 pagi dan 4 petang yang diketuai dua pegawai serta 20 anggota PPM dengan dibantu anggota Balai Polis Yong Peng, dilakukan selepas membuat risikan dan intipan.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, anggotanya membuat intipan di banglo kayu yang dipercayai stor penyimpanan mercun dalam serbuan Ops Landai.

Katanya, hasil pemantauan selama lima jam itu tiada pergerakan orang dan kenderaan di premis banglo kayu itu menyebabkan anggota PPM diarahkan membuat serbuan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan menemui 410 kotak berwarna coklat dengan label aiskrim, namun apabila diperiksa mendapati ia dipenuhi bunga api dan mercun dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta.

“Ketika kerja pemunggahan kotak berisi bunga api dan mercun dilakukan, seorang wanita berusia 37 tahun datang ke kawasan serbuan sebelum mengaku kesemua bunga api dan mercun itu adalah miliknya, menyebabkan dia ditahan untuk siasatan lanjut.

“Dalam serbuan kedua di sebuah rumah teres kira-kira satu kilometer dari banglo kayu berkenaan yang dipercayai turut dijadikan stor penyimpanan membawa kepada penemuan 119 kotak berwarna coklat berisi pelbagai jenis bunga api dan mercun dengan nilai RM400,000.

“Kesemua bunga api dan mercun itu dipercayai disimpan untuk diedar dan dijual ke pasaran Selatan tanah air sempena perayaan Tahun Baru Cina.

“Siasatan awal mendapati penyeludupan bunga api dan mercun diimport dari China ini dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang, Selangor dan didalangi sindiket tempatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir, Komander PPM Wilayah 2 Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang dan Pegawai Pemerintah PPM Muar Deputi Superintendan Nordin Osman.

Menurutnya, wanita terbabit direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, polis juga memburu ahli sindiket berkenaan dan maklumat boleh disalurkan kepada PPM Bukit Aman di talian 03-22663225 atau PPM Wilayah Dua Johir di talian 07-2372222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 7:45 PM