LAPORAN portal berita Harian Metro
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


SEORANG pemandu treler cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 329.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dan selatan dekat Tapah, hari ini.

Kejadian jam 7.20 malam, membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler, bas ekspres dan lori.

Difahamkan, kejadian turut mengakibatkan laluan arah selatan dari Tapah ke Bidor ditutup sepenuhnya berikutan treler berkenaan merintangi laluan itu manakala laluan ke utara dibuka selorong selepas laluan kiri dan kanan juga terpaksa ditutup.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hanya pemandu treler yang cedera dalam kejadian itu manakala pemandu lori serta pemandu dan empat penumpang dalam bas tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang dalam perjalanan menuju ke Pulau Pinang dilanggar di bahagian belakang oleh treler.


Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca.

“Kesan pelanggaran menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan dan terbalik di tengah laluan menuju ke utara.

“Treler berkenaan juga hilang kawalan dan melanggar penghadang besi di tengah lebuh raya sebelum masuk ke laluan menuju ke arah selatan dan melanggar bas yang dalam perjalanan menuju ke selatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, bas membawa empat penumpang itu dalam perjalanan dari Kamunting menuju ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 11:31 PM