Berita kehilangan kanak-kanak yang tular di laman sosial sebelum kanak-kanak itu selamat pulang ke rumah. FOTO media sosial
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


POLIS Daerah Seri Alam menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik suara dalam beberapa rakaman yang tular berhubung dakwaan palsu kejadian menculik kanak-kanak di sekitar kawasan Masai dan Pasir Gudang, sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Norazam Shaari berkata, sudah beberapa kali pihaknya menerima maklumat penularan rakaman suara yang menyatakan insiden tidak benar tular di laman sosial.

“Untuk makluman, individu yang sama beberapa kali membuat tular suara (rakaman) melalui laman sosial mengenai perkara tidak benar yang mana secara langsung ia membangkitkan kegusaran kepada masyarakat.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu terbabit untuk diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terbaru, satu rakaman suara berdurasi seminit 49 saat tular dikongsikan orang ramai mengenai kejadian culik membabitkan van putih yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak di kawasan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang.

Berhubung kejadian itu, Norazam mengesahkan ibu kanak-kanak yang membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh pada Selasa lalu, sudah menarik semula laporan dibuat.

Norazam berkata, tiada kejadian culik berlaku, sebaliknya ibu kanak-kanak berkenaan panik apabila mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh, ditambah pula apabila pengadu mendapati beg sekolah dan buku sekolah anaknya bertaburan di sekitar tempat turun bas, sebelum bertindak menularkan insiden kehilangan anaknya itu.

“Pada jam kira-kira 6 petang, hari berkenaan, anak pengadu pulang ke rumah di Taman Bukit Dahlia dengan menumpang sebuah kenderaan.

“Difahamkan anak pengadu panik apabila turun dari bas dan ternampak sebuah van putih yang dinaiki orang yang tidak dikenali.

“Tiada kejadian culik seperti yang ditularkan, pengadu hanya panik apabila anaknya tidak pulang ke rumah pengasuh di Nusa Damai seperti biasa sebaik turun daripada bas sekolah dan bertindak menularkan ‘kehilangan’ anaknya itu apabila mendapati beg sekolah dan buku sekolah anaknya bertaburan di sekitar tempat turun bas,” katanya.

Minggu lalu, satu rakaman suara berdurasi 58 saat menyatakan insiden van putih cuba menarik masuk kanak-kanak ke dalam kenderaan itu di Kota Masai, Pasir Gudang di sini, turut tular.

Norazam sebelum ini mengesahkan insiden itu tidak wujud dan cerita terbabit dipercayai hanyalah rekaan kanak-kanak berkenaan yang takut dimarahi ibu bapanya kerana pulang lewat dari sekolah.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan mengingatkan anak-anak untuk sentiasa waspada terhadap mana-mana individu yang tidak dikenali atau yang mencurigakan dan cuba menghampiri mereka.

Pada masa sama, katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang berita atau kenyataan yang belum pasti kesahihannya menerusi apa jua aplikasi atau laman media sosial.

“Jika didapati berlaku penyebaran berita palsu menerusi aplikasi atau laman media sosial, individu yang menyebarkannya boleh disabitkan atas satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 9:38 AM