Senapang patah buatan sendiri berserta sebutir peluru hidup yang ditemui. FOTO Ahmad Ismail
10 butir peluru hidup senapang patah yang di temui.
Ahmad Ismail
cnews@nstp.com.my


SEORANG pengembala lembu yang mengejar dua lelaki disyaki mencuri ternakannya, terkejut apabila menemui senapang patah buatan sendiri dengan sebutir peluru hidup, dalam kejadian di kebun kelapa sawit di Tenang, dekat Segamat.

Kejadian jam 1 tengah hari, Isnin lalu, dua suspek sempat melarikan diri sebelum berjaya ditahan pasukan polis beberapa jam kemudian sehingga membawa kepada penemuan 10 butir peluru hidup.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pada mulanya pengembala lembu berusia 46 tahun terserempak dengan dua lelaki dalam kebunnya sebelum terus mengejarnya kerana mengesyaki suspek terbabit dalam kejadian kehilangan empat lembu miliknya sebelum ini.

“Beberapa hari sebelumnya empat ekor lembu milik pengembala itu didapati hilang. Pengembala lembu bertindak mengejar kedua-dua suspek yang menunggang motosikal kerana menyangka mereka mahu melarikan ternakannya lagi,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Senapang patah buatan sendiri berserta sebutir peluru hidup ditemui oleh seorang pengembala lembu di sebuah kebun sawit sekitar Tenang, Segamat. FOTO Ahmad Ismail

Bagaimanapun, Raub berkata, pengembala itu gagal menahan kedua-dua suspek tetapi menemui selaras senapang patah buatan sendiri dengan sebutir peluru hidup di kebun sawit itu sebelum menghubungi pihak polis.

“Hasil risikan dan maklumat awam, kedua-dua suspek berjaya dikesan serta ditahan di sekitar bandar ini beberapa jam kemudian. Polis turut menemui 10 butir peluru hidup,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sehingga enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 4:49 PM