Shamsul Munir Safini

TIDAK serik. Begitulah kedegilan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) didalangi ‘Geng Gemuk’ yang beroperasi di kawasan perindustrian Nibong Tebal, sekalipun baru saja diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Isnin lalu.

Tindakan mereka itu ternyata mengundang padah apabila kumpulan terbabit sekali lagi diserbu PPDNHEP Pulau Pinang, 2.30 petang hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementeriaan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Md Nasir Mohamad berkata, sindiket itu menyangka kononnya pihak berkuasa tidak akan memeriksa premis yang pernah diserbu, namun ia ternyata meleset.

“Hasilnya dalam serbuan tadi, kami merampas 142 tong LPG 14 kilogram (kg) dan 71 tong LPG 50kg, dianggarkan bernilai RM31,246.

“Sindiket terpaksa beroperasi semula di lokasi yang pernah diserbu selepas mereka dipercayai sudah mendapat tempahan daripada pembeli,” katanya kepada Harian Metro.

Md Nasir berkata, sindiket terbabit dipercayai terdesak menggunakan lokasi sama kerana mereka perlu memenuhi permintaan pelanggan yang sudah membuat bayaran.

Katanya, jadi mereka mengambil risiko dengan menjadikan lokasi yang sama sebagai tempat memindahkan gas bersubsidi.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga pekerja di premis itu ditahan bagi diambil keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 8:12 PM
Sebahagian LPG bersubsidi yang dirampas di Kawasan Perindustrian Nibong Tebal. FOTO Rosli Ahmad