Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PENGURUS Kanan Kewangan PASDEC Holdings Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah RM320,000 sejak 2014 sehingga 2016.

Tertuduh, Ahmad Rosdi Ismail, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 September 2014 membabitkan jumlah RM200,000 di CIMB Bank, Kompleks Teruntum.

Tertuduh mengulangi perbuatan itu pada 24 April, 4 Jun dan 26 Oktober 2015 serta 21 Mac 2016 yang masing-masing membabitkan jumlah RM30,000.

Semua kesalahan itu dilakukan di pejabat PASDEC Holding Berhad, tingkat 14, Menara Teruntum.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.


LAPORAN portal Harian Metro.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Adha Amir manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bastian Pius Verdagon.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM130,000 dan meminta tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Bastian Pius memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan berkenaan kerana anak guamnya adalah penyara tunggal keluarga dan perlu menjaga dua anaknya yang disahkan autisme.

Mohd Ghazali kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mohd Ghazali menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 1:15 PM