FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki meninggalkan kereta curi di tengah jalan apabila terperangkap dalam kesesakan trafik bagi mengelak ditahan polis dalam kejadian di Jalan Klang Lama, Batu 3, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, ketika kejadian kira-kira 5.30 petang, dua anggota polis membuat rondaan sebelum terserempak dengan kedua-dua lelaki terbabit menaiki kereta Perodua Kancil dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika anggota polis itu mengarahkan mereka berhenti, pemandu kereta terbabit memecut kenderaan dan cuba melanggar anggota bertugas.

“Anggota polis bertugas terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kereta yang dinaiki dua suspek berkenaan bagi mempertahankan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Ruslan berkata, suspek tidak dapat meneruskan perjalanan berikutan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan menyebabkan mereka terus melarikan diri dan meninggalkan kereta itu.

Menurutnya, kedua-dua suspek bertindak memanjat penghadang jalan ke laluan bertentangan untuk melarikan diri.

Katanya, anggota polis terbabit tidak sempat mengejar suspek berkenaan dan semakan mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Klang, Selangor.

“Pemeriksaan dalam kereta itu menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Selain itu, kami juga menemui vest pengawal keselamatan dalam kenderaan itu,” katanya.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek giat dijalankan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 3:03 PM