Pekan Smenyih yang bakal sibuk menjelang PRK DUN Semenyih tidak lama lagi. (Gambar kecil) Mohd Azizuddin.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


“KERJASAMA BN (Barisan Nasional) dan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan mengukuhkan lagi kekuatan pembangkang,” kata penganalisis politik Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani,

Bagaimanapun, katanya, situasi itu tidak memberi makna PH akan menang di kerusi DUN Semenyih tetapi dengan majoriti yang lebih rendah.

Bekas Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, faktor utama PH akan berjaya mengekalkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya umum (PRU-14) itu ialah mereka menguasai Kerajaan Negeri Selangor dan Pusat.

Berbeza dengan Pilihan raya Kecil (Cameron Highlands), katanya, geografi Semenyih yang terletak di kawasan bandar akan memudahkan pergerakan pengundi-pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada 2 Mac nanti.

“Cameron Highlands kawasan luar bandar, pengundi tempatan sudah ada sebaliknya di Semenyih nanti pengundi luar tiada masalah akan pulang membuang undi.

“BN tak akan menang di Semenyih,” katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur, hari ini.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, dari PH meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14, Bakhtiar menewaskan penyandan Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PSM pula dijangka masih berminat untuk bertanding pada PRK kali ini.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 4:17 PM