Laporan sebelum ini.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENIAGA kain langsir yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah di Facebook (FB) kelmarin, ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pagi, hari ini di sekitar Kuantan.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kerana laporan polis dibuat di sana. Kes disiasat mengikut Akta Hasutan 1948,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suspek sebelum ini didakwa meninggalkan komen di FB dengan kenyataan menghina Al-Sultan Abdullah iaitu “muka macam ‘end of the world’ hihi” ke atas gambar baginda.

Susulan itu satu laporan polis dibuat seorang individu yang membawa kepada penahanan lelaki berkenaan.

Terdahulu, suspek turut membuat laporan polis mendakwa didatangi dua lelaki yang melakukan ugutan di pekarangan premis perniagaannya di Kuantan semalam.

Disebabkan itu, suspek lelaki berusia 32 dan 36 ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah

Sementara itu, Mohd Zakaria menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan berunsur menghina dan mempersenda institusi beraja di negara yang boleh mengancam keharmonian negara.

Berita berkaitan

Polis Pahang terima laporan individu hina Agong

2 suspek ugut lelaki hina Agong ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 6:08 PM