GAMBAR hiasan.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


PENGERUSI Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan berkata, peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya bukan disebabkan faktor tekanan politik.

Sebaliknya, beliau memberitahu Wan Ahmad Wan Yusoff melepaskan jawatan itu atas kerelaannya sendiri.

Katanya, Wan Ahmad juga tidak dipecat seperti dakwaan dan beliau sudah bertemunya supaya mempertimbangkan keputusan berkenaan.

“Saya mahu beliau kekal dengan PTPTN tetapi persaraan adalah pilihannya dan kita hormati keputusan itu.

“Malah jika diikutkan, khidmat dia (Wan Ahmad) masih diperlukan sehingga Ogos ini tetapi dia sudah mengambil cuti persaraan bermula kelmarin,” katanya pada sidang media selepas program di One Centre Malaysia, Kangar, hari ini.

Wan Saiful mengakui turut terkejut dengan keputusan yang dibuat Wan Ahmad.

“Beliau pergi dalam keadaan kita memerlukannya, sehingga penggantinya dilantik kerana dalam proses transisi ini khidmat beliau amat diperlukan.

“Saya hanya tahu beliau memohon cuti pada 22 Januari lalu tetapi hanya mengetahui cutinya diluluskan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, semalam,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, setakat ini tiada cadangan untuk mewujudkan sebuah entiti pelaburan berasingan bagi menampung hutang yang ditanggung pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya hanya merangka rancangan memastikan pulangan pelaburan PTPTN di tahap maksimum dan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dibuat untuk cari kaedah meningkatkan hasil pelaburan itu.

“Ia masih dalam perbincangan dan belum diputuskan kementerian,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 9:03 PM