Antara senjata api yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis


GENG Botak Sern yang dipercayai memecah masuk empat rumah termasuk kondominium di sekitar Johor Bahru tumpas selepas polis menahan 11 ahli kumpulan itu dalam empat siri serbuan, Selasa lalu.

Geng Botak Sern bukan saja memecah masuk rumah dan melarikan pelbagai barangan berharga malah mereka dikatakan menggunakan pistol palsu untuk melakukan jenayah lain termasuk melarikan kenderaan dalam kejadian di Melaka, tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, tangkapan dilakukan itu menerusi Ops Limau bagi mencegah jenayah sempena Tahun Baharu Cina 2019.

Katanya, bertindak atas maklumat orang ramai dan intipan yang dilakukan, pihaknya melakukan empat serbuan berbeza Selasa lalu di sekitar Taman Ungku Tun Aminah, Skudai serta sekitar Kulai dan menahan 11 ahli kumpulan berkenaan termasuk tiga wanita.

“Semua yang ditahan berusia antara 23 hingga 28 tahun dan kami turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil curi atau digunakan untuk melakukan jenayah termasuk pistol tiruan, playar, tukul besi dan pemutar skru.

“Hasil siasatan, kami dapati mereka memecah masuk empat rumah termasuk sebuah unit kondominium di sekitar daerah ini dan semuanya tidak berpenghuni, mungkin ditinggalkan ketika tuan rumah ke luar daerah.

“Selain itu, kami merampas sebuah kereta Honda yang dilaporkan hilang di Air Keroh, Melaka, tahun lalu,” katanya hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati ketua kumpulan berkenaan mempunyai sembilan rekod jenayah pecah rumah dan curi kenderaan manakala lima ahli kumpulan sama ada rekod berkaitan jenayah.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah, Seksyen 379A KK kerana curi kenderaan, Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah.

“Semua suspek direman hingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, menerusi Ops Limau yang dilancarkan pada 15 Januari lalu pihaknya menahan 72 individu atas pelbagai kesalahan samun dan pecah rumah termasuk Geng Botak Sern.

Selain itu katanya, 13 individu ditahan atas kesalahan perjudian dan maksiat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 6:58 PM