Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


EMPAT lot kedai termasuk premis nombor ekor hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Triang-Bera, Kemayan di Bera, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua kedai telefon bimbit dan kedai baju turut terbakar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.10 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Tindakan awal orang awam dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berjaya mengawal api daripada merebak.

“Operasi pantas pemadaman api berjaya selamatkan dua lot kedai berhampiran iaitu kedai serbaneka 24 jam dan kedai emas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sani berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.47 pagi dan siasatan kebakaran kini sedang dijalankan bahagian forensik JBPM Pahang.

Katanya, kejadian turut dimaklumkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


KEADAAN premis terbabit kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 8:17 PM