LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


POLIS sudah mengambil tindakan ke atas penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura yang dikesan menunggang di negara ini dengan menutup nombor plat pendaftaran menggunakan pita pelekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan termasuk mengeluarkan saman itu dilakukan oleh unit polis peronda (MPV) Tangkak, Johor.

“Kita sememangnya mengambil makluman mengenai video yang tular mengenai tindakan 'bikers' itu.

“Mana-mana warga Malaysia juga dikenakan tindakan, jika berbuat demikian apatah lagi ia membabitkan warga negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Shah Alam, semalam.

Harian Metro, hari ini, melaporkan ada penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura dikesan menunggang di negara ini dengan menutup nombor plat pendaftaran dengan pita pelekat.

Perbuatan penunggang motosikal yang dipercayai berkonvoi dalam kumpulan sempena cuti hujung minggu itu dirakam seorang pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), baru-baru ini.

Menerusi rakaman berdurasi 43 saat yang sudah mula tular sejak kelmarin, kelihatan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan nombor plat pendaftaran bermula dengan abjad ‘F’ yang merujuk kepada pendaftaran motosikal di Singapura itu, melalui Lebuhraya PLUS.

Mereka bergerak dari arah selatan tanah air menuju ke utara, bagaimanapun tidak diketahui ke mana destinasi sebenar ditujui kumpulan penunggang motosikal berkenaan.

Difahamkan, tujuan kumpulan berkenaan menutup nombor plat pendaftaran motosikal mereka bagi mengelak dirakam kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di sepanjang lebuh raya di negara ini apabila mereka menunggang laju.

Tindakan menutup nombor plat pendaftaran motosikal ditunggang mereka itu dapat dilihat dengan jelas dalam rakaman video berkenaan.

Ia sekali gus mengundang pertikaian netizen mengenai pemantauan pihak berkuasa terhadap tindakan kumpulan itu yang dilakukan secara terang-terangan.

Berita berkaitan

Tutup nombor plat, pecut ikut sedap

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 12:02 AM