ANGGOTA APM menangkap ular berkenaan. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkifffli


ULAR sawa batik sepanjang tiga meter dan seberat 15 kilogram ditemui dalam saluran longkang di Pasar Awam Besar Kelibang, Kuah, Langkawi, hari ini.

Ular itu ditemui jam 8.50 pagi oleh suami isteri yang sedang berniaga sayur selepas ternampak reptilia itu di dalam longkang, di hadapan gerai sayur mereka.

Berikutan itu, Rokiah Hussain, 69, menghubungi pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi untuk membantu menangkap ular berkenaan.

“Ular itu nampak macam ‘garang’, mujur ketika itu orang tak ramai lalu di kawasan itu dan sebab itulah saya terus menghubungi APM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamsah Apearal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.05 pagi berkaitan ular itu sebelum tiba di lokasi jam 9.18 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai lima anggotanya dan mereka mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular sawa itu kerana reptilia itu agak agresif.

“Mungkin ia sedang mencari sumber makanan dan apabila rasa terancam ia agresif ketika anggota kami cuba menangkapnya.

“Bagaimanapun, ular sawa itu dapat ditangkap dan dibawa pulang ke pejabat kami untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 9.54 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 1:22 PM