SUSPEK ditahan bersama motosikal curi. FOTO ihsan polis
Mohd Sabran Md Sani


LIMA belas rekod jenayah masih tidak menginsafkan lelaki berusia 46 tahun selepas ditahan bersama sebuah motosikal curi di Jalan Perubatan, Taman Universiti, Skudai, Johor Bahru, jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek ditahan dalam rondaan Op Cegah Jenayah (OCJ) oleh anggota Balai Polis Taman Universiti.

Katanya, ketika rondaan dilakukan, polis melihat suspek menunggang Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki itu ditahan dan pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, antara rekod jenayah suspek ialah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata berkumpulan, Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Katanya, siasatan mendapati suspek masih berstatus dikehendaki dan pemeriksaan motosikal yang ditunggangnya mendapati ia dilaporkan hilang di Kulai.

“Suspek dibawa pulang ke Balai Polis Taman Universiti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 3:18 PM