GAMBAR hiasan
Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifai@nstp.com.my


DIJANJIKAN pekerjaan, sebaliknya malang menimpa 47 warga Malaysia apabila ditahan di Kemboja selepas pihak berkuasa negara itu mengatakan mereka kononnya terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian didalangi sindiket antarabangsa.

Sumber memberitahu kesemua individu terbabit yang berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan sejurus mereka tiba di Poipet, Banteay Mancheay di pinggir Phnom Penh, 11 Disember lalu.

Katanya, sebahagian besar individu yang ditahan dikenal pasti berasal dari Sabah dan Sarawak, dengan pemergian mereka ke negara itu dikendalikan sebuah agensi pekerjaan.

“Kedutaan Malaysia di Phnom Penh sudah dimaklumkan secara rasmi berhubung penahanan kesemua individu berkenaan, malah pegawai kedutaan juga sudah dihantar bagi meninjau keadaan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kesemua individu terbabit sedang menunggu pekerjaan dijanjikan oleh agensi pekerjaan terbabit ketika ditahan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, penahanan mereka atas alasan disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian,” katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati kesemua individu terbabit berasal dari keluarga miskin dan amat mengharapkan pekerjaan ditawarkan bagi membantu mengubah nasib keluarga mereka.

“Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan terbabit menjadi mangsa sindiket penipuan didalangi warga China.

“Usaha sedang dijalankan bagi membantu membebaskan mereka dan membawa kesemua individu terbabit pulang ke tanah air pada kadar segera,” katanya.

Difahamkan, Wisma Putra sedang bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja berhubung perkara itu.

Sementara itu, satu sidang media akan diadakan di Hotel Merdeka Palace & Suites, Kuching, 3 petang ini berhubung isu berkenaan.

Ia akan turut disertai wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bertujuan mengenal pasti bentuk bantuan kepada kumpulan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 2:58 PM