DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEJAYAAN Malaysia menduduki carta pertama dalam kategori Penjagaan Kesihatan bagi Indeks Persaraan Global Tahunan 2019 disifatkan sebagai pengiktirafan dunia kepada negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana pemilihan itu secara tidak langsung turut memberi pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi yang disediakan di Malaysia.

“Malaysia sememangnya komited dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik yang bukan sahaja berkualiti dan bernilai tinggi, malah kos rawatannya juga adalah berpatutan.

“Menerusi pengiktirafan berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan terdapat pertambahan bilangan pelancongan kesihatan dalam negara,” katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas mengenai laporan mengenai Malaysia yang menduduki carta pertama dalam kategori Penjagaan Kesihatan bagi Indeks Persaraan Global Tahunan 2019, dengan skor 95 daripada 100 mata.

Menurut indeks berkenaan, Perancis berada di kedudukan kedua dengan 93 mata, diikuti Thailand (92 mata), Ecuador (89 mata) dan Costa Rica serta Mexico masing masing berkongsi kedudukan di tangga kelima.

Berdasarkan laporan akhbar Costa Rica News, terdapat 13 hospital yang memperoleh akreditasi daripada Suruhanjaya Antarabangsa Bersama (JCI) di negara ini, dan hampir kesemua doktor fasih berbahasa Inggeris.

Costa Rica News dipetik berkata, di Malaysia, seseorang itu tidak perlu membuat temu janji berjumpa dengan doktor pakar dan tidak perlu rujukan daripada pengamal perubatan.

Sebaliknya, hanya perlu mendaftar di hospital dan menunggu giliran untuk bertemu pakar.

“Kemudahan di Malaysia ini menyebabkan kos yang rendah berbanding di Amerika Syarikat. Namun, bukan sahaja kos yang menjadi tarikan, tetapi juga perkhidmatan.

“Ahli farmasi sama juga seperti kakitangan perubatan lain di Malaysia, terlatih dan bermaklumat. Rakyat Malaysia bersifat mesra, tetapi yang lebih menarik ialah mereka benar-benar mengambil berat terhadap pesakit,” kata akhbar itu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan Malaysia adalah antara negara yang menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia.

Dr Ahmad Shukri berkata, Malaysia memiliki fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta di seluruh negara, tidak kira walau di ceruk mana sekali pun.

Katanya, tidak banyak negara di dunia ini yang memiliki kemudahan kesihatan seperti yang Malaysia sediakan justeru usaha kerajaan khususnya KKM wajar diberi pujian.

“Apapun, dalam hal ini, PERDIM juga berharap kerajaan tidak akan meminggirkan peranan pengamal perubatan swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana kami bukanlah pesaing sebaliknya mahu dianggap sebagai rakan kongsi.

“Selain itu, profesionalisme pengamal perubatan swasta di negara ini juga perlu diiktiraf dan jangan menganggap kami sebagai golongan kelas bawahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 5:02 PM