X
NABILA (kanan) tidak mengaku bersalah di atas tuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM5 juta empat tahun lalu.
NABILA (kanan) tidak mengaku bersalah di atas tuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM5 juta empat tahun lalu.
Sarah Zulkifli


KAJANG: Seorang pengarah sebuah syarikat bergelar Datin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan pecah amanah melibatkan nilai sejumlah RM5 juta pada, empat tahun lalu.

Tertuduh, Datin Nabila Sanusi, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, dia yang diamanahkan dengan wang syarikat melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan membuat tuntutan palsu yang menyebabkan syarikat mengalami kerugian RM5 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Kamuja Bullion Resources Sdn Bhd, Diamond Kompleks Bangi Business Park, Jalan Medan Bangi, Bandar Baru Bangi di sini, antara 27 November 2015 hingga 14 Jun 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad menawarkan jaminan RM100,000 sebelum tertuduh diwakili peguam meminta rayuan supaya jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan dia dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut fakta kes, tertuduh mengarahkan pekerja syarikat menyediakan dokumen baucer pembayaran bernilai RM5 juta bagi tujuan cagaran deposit kepada Malaysia Building Society Berhad (MBSB) untuk penstrukturan semula dan peningkatan kemudahan pinjaman.

Dia kemudian menggunakan cek syarikat bernilai RM5 juta untuk membuka lima akaun simpanan tetap bernilai RM1 juta setiap satu akaun dan kemudian memasukkan wang berjumlah RM5 juta itu ke dalam tiga akaun peribadi milik tertuduh dan tidak dipulangkan kepada syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 9:47 AM
Digital NSTP Subscribe