Hanneeyzah Bariah Baharin; Helmy Abd Rahman; Zatul Iffah Zolkipsly dan Fitri Nizam


GAMBAR sekeluarga yang dirakam ketika mengunjungi pusat beli belah di Kota Bharu, menjadi memori terakhir empat beranak sebelum tiga daripadanya maut dalam nahas jalan raya, hari ini.

Gambar yang dimuatnaik Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, bersama suami, Mohd Kharulinzam Jusoh, 37, serta dua anaknya, Muhammad Khairul Haziq, 5, dan Nur Khaira Aisyah, sembilan bulan, di status WhatsApp itu mengundang rasa hiba ahli keluarga kerana mereka jarang merakam gambar bersama.

Lebih memilukan, Nur Syaazlien turut memuatnaik gambar mendukung anak bongsunya dengan keterangan gambar ‘Semoga selamat pergi dan balik..amin’ sebelum memulakan perjalanan menuju ke Kelantan.

Malah, Nur Syaazlien turut berkongsi gambar kemalangan jalan raya membabitkan Perodua Alza di status WhatsApp, serta meluahkan rasa penat menempuh perjalanan yang panjang.

Kakak kepada Mohd Kharulinzam, Maizatul Akmal, 44, berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya itu adalah pada kenduri arwah bapa saudara mereka Sabtu lalu, namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

Bagaimanapun, apabila dimaklumkan oleh ibunya bahawa adiknya itu maut dalam nahas, dia terkejut kerana sepanjang pengetahuannya, Mohd Kharulinzam tidak pernah memandu kenderaan jauh daripada negeri ini walaupun bekerja sebagai kelindan lori di kedai perabot.

“Apabila dimaklumkan adik, isteri dan anak bongsunya maut dalam kemalangan, kami adik beradik terkejut kerana ini kali pertama dia memandu sendiri sejauh itu (ke Kelantan).

“Kami reda pemergiannya namun masih tak percaya dia memandu sejauh itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di KualaTerengganu, hari ini.

Maizatul turut memberitahu bahawa kereta jenis Proton Wira dipandu adiknya itu baru saja dibeli mangsa kira-kira tiga bulan lalu.

Dalam kemalangan 2.50 pagi itu, Mohd Kharulinzam, isteri, Nur Syaazlien dan anak mereka, Nur Khaira Aisyah serta adik iparnya, Muhammad Nashrullah, 5, disahkan maut di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pokok di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Ibu kepada Nur Syaazlien, Rozilawati [email protected], 43, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ jam 8.43 pagi, manakala Khairul Haziq yang parah dirawat di hospital sama.

Berita berkaitan

Ajal lima sekeluarga

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 3:28 PM
GAMBAR terakhir yang dirakam di Kota Bharu sebelum kejadian kemalangan (Mohd Kharulinzam Jusoh, 37 bersama isteri Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21.Nur Khaira Aisyah sembilan bulan yang maut dalam kemalangan manakala Muhammad Khairul Haziq, 5, parah (duduk kanan) di masukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah,Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan