Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat menarik sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan ke Jeti Polis Marin. FOTO Ghazali Kori dan Zaid Salim.


‘YANG aku takut jika ajal yang tibe (tiba) dulu.’ Itu status pernah dimuat naik Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan empat sekeluarga di muara Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan Kuala Terengganu, malam tadi.

Status yang dimuatnaik di Facebook pada 14 November 2018 itu mendapat perhatian netizen susulan 339 ‘tanda suka’, 47 komen dan diulang kongsi 21 kali.

Rata-rata netizen menyatakan simpati terhadap nasib Abdul Bari Asyraf yang digelarkan sebagai ‘hero’ dan berharap dia segera ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam tadi, Abdul Bari Asyraf dikatakan sedang memancing bersama rakannya sebelum dikejutkan dengan insiden kereta pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki lima sekeluarga menggelungsur sebelum terjunam ke dalam sungai berkenaan.

Difahamkan, Abdul Bari Asyraf adalah individu pertama yang terjun ke dalam sungai terbabit untuk membantu menyelamatkan semua mangsa.

Selain Abdul Bari Asyraf, terdapat lima lagi orang awam yang berada di lokasi kejadian turut membantu menyelamatkan semua mangsa.

Lima mangsa dalam kenderaan berkenaan, Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23; Syafawani Jaafar, 11; dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin berusia tiga tahun berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Berita berkaitan

PPDA cari Abdul Bari pagi ini

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 3:29 PM