LAPORAN portal berita Harian Metro semalam mengenai sidang media diadakan Baharudin susulan penahanan suspek utama kes tetak dan rampasan parang digunakan dalam kejadian itu.
Siraj Mohd Zaini


KEMATIAN ngeri seorang lelaki yang ditetak sebanyak 25 kali dengan sebilah parang di Batu 5, Jalan Kampung Jawa, Shah Alam, petang kelmarin, dipercayai bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan mendapati suspek utama berusia 35 tahun itu tidak berpuas hati kerana mengesyaki mangsa mengganggu isterinya sepanjang dia menjalani hukuman penjara pada tahun lalu.

Menurutnya, suspek yang diberkas polis di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang, pada 11.02 pagi semalam, sebelum ini dipenjarakan atas kesalahan dadah.

“Kejadian bunuh ini bermotifkan dendam apabila suspek tidak berpuas hati kerana mengesyaki mangsa mengganggu isterinya sepanjang dirinya menjalani hukuman penjara.

“Suspek dibebaskan daripada hukuman penjara pada November tahun lalu dan mengenali mangsa kerana sama-sama terbabit dengan aktiviti penagihan dadah,” katanya kepada Harian Metro di Shah Alam, hari ini.

Semalam, Baharudin ketika sidang media berkata, polis berjaya mengesan adik lelaki suspek berusia 33 tahun pada 1.20 pagi yang membawa kepada penahanan suspek utama kes berkenaan.

“Hasil penahanan kedua-dua lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini dalam tempoh kurang 24 jam.

“Kedua-dua mereka akan ditahan reman bagi siasatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mendapati mangsa, R Dharmaraj, 34, ditetak sebanyak 25 kali di bahagian muka, badan dan kaki termasuk lapan kesan tetakan serius.

Dalam kejadian 4 petang kelmarin, mangsa membonceng motosikal ditunggang suspek dan menuju ke lokasi berhampiran dengan Kuil Sri Maha Kaliamman Madurai Veeran.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kuil berkenaan turut tular di laman sosial yang memaparkan suspek mengejar mangsa dengan sebilah parang.

Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah kira-kira 30 meter dari kawasan kuil berkenaan.

Berita berkaitan

'Ditetak 25 kali rupanya...'

'Maut akibat 8 kesan tetakan'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 9:49 PM