Pekerja kedai meninjau premis itu selepas api berjaya dipadamkan bomba. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Hazira Ahmad Zaidi

SEBUAH kedai aksesori kenderaan di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Wakaf Che Yeh, Kota Bharu terbakar, hari ini.

Kejadian berlaku 2.50 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang pekerja kedai itu yang enggan dikenali berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas melihat asap di stor dan dapur premis.

Kata lelaki berusia 30-an itu, dia kemudian menjerit api dan meminta pelanggan menyelamatkan diri sebelum bergegas ke dapur untuk mengalihkan tong gas, namun api marak dan menyebabkan keseluruhan dapur terbakar.

“Ketika itu, hanya ada seorang pelanggan sahaja yang membaiki cermin kereta. Saya menjerit kepadanya minta menyelamatkan diri kerana bimbang api semakin marak.

“Dua kereta dan empat motosikal milik pekerja dan majikan berjaya diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.59 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

Katanya, seramai 50 anggota terbabit termasuk 17 anggota bomba sukarelawan dari BBP Tunjong, BBP Kota Darul Naim, BBP Kota Bharu, BBP Pengkalan Chepa, BBP Wakaf Bharu dan BBP Pasir Tumboh.

“Ketika tiba, 30 peratus ruangan bawah kedai aksesori terbakar dan api berjaya dikawal 30 minit kemudian. Operasi tamat 3.49 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 9:33 PM