KEADAAN van rentung terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Pasir Besar-FELDA Palong Tiga di sini, pagi ini. FOTO Ihsan Pembaca
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG lelaki warga Pakistan ditemui rentung apabila van dipandu terbakar di Jalan Pasir Besar-FELDA Palong Tiga berhampiran persimpangan FELDA Palong Tiga di Jempol, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.41 pagi itu, mangsa dikenali Mujahid Shah, 23, ditemui mati di tempat duduk pemandu van terbabit.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Pasir Besar membelok ke kanan untuk masuk ke FELDA Palong Tiga.

“Pada masa sama sebuah lori tiga tan dari arah FELDA Palong Empat tidak sempat berhenti lalu merempuh van mangsa.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan terbakar. Mangsa dipercayai tersepit dan tidak dapat menyelamatkan diri manakala pemandu lori, V Nanthakumar, 31, sempat keluar dari kenderaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

“Pengecaman mayat mangsa dibuat melalui abangnya yang datang ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 4:05 PM