DR Maszlee (dua dari kiri) bersalaman dengan pelajar SMK Bandar Tasik Kesuma, Beranang, semalam.
Mohamad Hussin


SEMENYIH: Seramai 10,201 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) membabitkan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah ditempatkan di setiap sekolah di seluruh negara bagi mengekang gejala sosial dan kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu, 7,774 PPS ditempatkan di sekolah rendah manakala 2,427 PPS di sekolah menengah.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dijalankan PPS adalah melakukan lawatan dan rondaan dua kali sebulan, memberikan ceramah mengenai hal keselamatan dan pencegahan jenayah dan pemeriksaan papan kenyataan.

“Pembabitan pelajar dalam masalah sosial dan kegiatan jenayah turut menyumbang kepada peningkatan angka jenayah indeks negara.

“Statistik tangkapan pelajar sekolah bagi kes jenayah indeks yang dilaporkan pada tahun 2017 sebanyak 1,722 tangkapan dan jumlah berkenaan menurun kepada 1,285 tangkapan tahun lalu.

“Bagi jenayah narkotik pula, 467 tangkapan membabitkan pelajar sekolah direkodkan pada 2017 dan jumlah berkenaan meningkat kepada 577 tangkapan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan PDRM sempena Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Turut hadir, Pengetua SMK Bandar Tasik Kesuma, Mohd Fauzi Abu Bakar.

Sementara itu, Dr Maszlee berkata, bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada sekolah dan PDRM melalui peranan PPS, kementerian menggalakkan sekolah menyedia dan menggunakan papan kenyataan PPS di semua sekolah. Papan ini dapat digunakan semaksimum mungkin oleh warga sekolah dan PPS sebagaimana yang dibuat pada papan notis masjid dalam Program 1Masjid 1Polis (1M1P).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:09 AM