ANGGOTA Trafik mula mengawal lalu lintas di hadapan Tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya. Koroner Rofiah Mohamad, Timbalan Pendakwa Raya, peguam dan tiga saksi pihak berkepentingan bagi inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan melawat ke lokasi kejadian. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin akan turut menyertai lawatan Mahkamah Koroner ke Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Subang Jaya dekat sini.

Zuraida tiba 10 pagi di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Azmi Osman.

Selain pihak-pihak berkepentingan, Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner turut akan menyertai lawatan itu untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai lokasi kejadian.

Selain kuil, mereka dijangka akan melawat Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang terbabit dalam insiden rusuhan itu.

Semalam, tiga saksi sudah memberikan keterangan.

Mereka ialah Ketua Jabatan Siasatan Trafik Subang Jaya, Deputi Superintendan Mohamad Nasir Drahman dan dua anggota bomba Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor dan Ahmad Shahril Othman.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:01 AM