LELAKI warga China (baju oren) dihadapkan di Mahkamah Majistret, Sepang hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


LELAKI warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini atas tuduhan membuat capaian kandungan iaitu dua jenis alat disyaki skimming bagi mencuri data pemilik kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Chengyong Guo, 42, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret A [email protected] Acho selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah di dalam Bahasa Mandarin.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Januari lalu kira-kira 8.30 pagi di mesin ATM sebuah bank di aras tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam daerah Sepang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuat capaian kandungan iaitu dua jenis alat disyaki skimming bagi mencuri data pemilik kad ATM dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap mesin ATM berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta yang sama.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aziatul Afrizan Alias

manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon tiada jaminan dikenakan memandangkan tertuduh adalah warga asing.

Majistret menetapkan tarikh 28 Februari ini sebagai sebutan kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:35 AM