Izlaily Nurul Ain Hussein


PENJUAL pisang goreng dan suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas lapan tuduhan memperdaya individu bagi tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), tiga tahun lalu.

Noryazid Soid, 45, dan Nathysanur Ali, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memperdaya lapan mangsa berusia antara 27 hingga 54 tahun untuk mempercayai bahawa mereka akan mendapatkan RMMJ Kuota Menegak Kerajaan (KMK) yang ditawarkan.

Perbuatan itu dengan curangnya mendorong semua mangsa menyerahkan wang yang keseluruhannya berjumlah RM110,430 sama ada secara tunai dan berperingkat atau dimasukkan ke dalam dua bank milik Nathysanur, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Selayang 18, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, sekitar 2016.

Noryazid turut mengaku tidak bersalah bagi tiga lagi pertuduhan menipu tiga mangsa termasuk Nathysanur membabitkan jumlah RM32,390 bagi tujuan sama di lokasi serupa dan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Seri Alam, Johor Bahru antara 2013 hingga 2018.

Untuk semua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.


TERTUDUH (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung kes tuntutan palsu. FOTO Farizul Hafiz Awang.

Sementara itu, di hadapan majistret sama, dua lagi tertuduh iaitu Saharuddin Mohamed Shah dan Norfariza Besar, masing-masing berusia 38 tahun, tidak mengaku bersalah terhadap dua tuduhan bersubahat dengan Noryazid.

Mereka didakwa menipu Nathysanur dan seorang lagi mangsa bagi tujuan sama sehingga mangsa menyerahkan wang semuanya berjumlah RM32,500 sebagai bayaran deposit rumah yang ditawarkan, antara 2013 hingga 2016 di lokasi sama di Pasir Gudang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan, manakala peguam Farhan Maarof mewakili Nathysanur dan Noryazid diwakili peguam Hussin Othman.

Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Nathysanur diikat jamin RM19,000 dan Noryazid sebanyak RM25,000, masing-masing dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dihadapi mereka.

Saharuddin dan Norfariza pula dibenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin

Siti Hajar menetapkan 4 Mac ini untuk sebutan semula semua kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 3:41 PM