Mohd Rosnizam (depan dua kiri, baju hitam) dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


DUA ahli Geng Zam Rawang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan menyimpan dan menghapuskan kereta curi bulan lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas tertuduh Mohd Rosnizam Md Rosidi, 32, dan Mohd Mustafa Mat Salleh, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rosnizam didakwa menghapus dan menyembunyikan harta curi iaitu Nissan Frontier milik lelaki berusia 56 tahun kepada Mohd Mustafa.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Taman Tun Teja, Rawang, Selangor jam 5 petang 30 Januari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd Mustafa didakwa menyimpan Nissan Frontier dengan mempercayai ia harta curi di Blok A Jalan PJU 10/1C Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 9 pagi, 1 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:39 PM