Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


DUA lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Parit, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun, bulan lalu.

Tertuduh, Alif Omar Sidek dan rakannya, Muhamad Farishafiq Mohd Johari masing-masing berusia 20 tahun membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat dua laporan palsu secara berasingan mendakwa disamun bersenjata oleh dua lelaki di hadapan McDonald’s Seri Iskandar pada 1 pagi, 23 Januari lalu.

Laporan palsu itu didakwa dibuat mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada 9.30 malam keesokannya bertujuan untuk penggantian semula kad pengenalan hilang.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) R Prabakaran.

Prabakaran kemudiannya memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman denda minimum kepada mereka memandangkan Alif Omar bekerja sebagai mekanik bengkel dan Muhammad Farishafiq sebagai pembantu chef dengan pendapatan RM1,100 sahaja.

Nur Farhana kemudiannya meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada mereka dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Fitri kemudiannya menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM2,000 dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan akan dikenakan dua bulan penjara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 5:48 PM
MUHAMAD Farishafiq (dua dari kanan) dan Alif Omar (dua dari kiri) dijatuhi hukuman denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Parit, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan palsu berkaitan kejadian samun, bulan lalu. FOTO Muhaizan Yahya.