FOTO Hiasan
BERNAMA

KELANTAN mencatatkan dua kematian akibat denggi dengan 484 kes penyakit itu dalam tempoh enam minggu pertama tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata, jumlah kes dicatatkan sehingga 9 Februari lalu didapati meningkat hampir 300 peratus berbanding 138 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut Zaini, kematian pertama akibat denggi dilaporkan pada 23 Januari lalu membabitkan seorang lelaki berusia 63 tahun dari Bachok.

“Kes kedua pula membabitkan seorang wanita dari Pasir Mas yang dipercayai dijangkiti virus denggi ketika pulang bercuti di Selangor sempena Tahun Baru Cina lalu.

“Mangsa dimasukkan ke Hospital Pasir Mas pada 2 Februari lalu akibat demam sebelum dipindahkan ke Hospital Kota Bharu dan meninggal dunia pada 6 Februari,” katanya, di sini, hari ini.

Zaini berkata, dua daripada pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kota Bharu.

“Saya menasihati pesakit demam denggi supaya berehat dalam rumah sehingga sembuh sepenuhnya bagi mengelak menjadi ejen penularan virus denggi.

“Ini kerana virus yang berada dalam tubuh pesakit masih aktif dan jika dihinggapi nyamuk Aedes, darah yang tercemar dengan virus boleh disebarkan kepada orang lain,” katanya.

Katanya, keadaan cuaca panas ketika ini menyebabkan nyamuk Aedes lebih agresif mencari mangsa berbanding ketika cuaca sejuk.

Ditanya mengenai punca kenaikan jumlah pesakit denggi di negeri ini, Zaini berkata, ia mempunyai kaitan dengan orang ramai yang bercuti di luar Kelantan pada musim perayaan lalu dan pulang ke negeri ini dengan membawa virus penyakit itu.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya menggunakan penghalau serangga bagi mengelakkan digigit nyamuk Aedes yang menjadi punca demam denggi, chikungunya, zika dan demam kuning biasa yang aktif dari jam 5 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 3:28 PM