BERNAMA

JABATAN Laut Malaysia Wilayah Utara (JLMWU) hari ini mengeluarkan arahan pembatalan khidmat feri awal pagi dari Terminal Kuala Perlis ke Langkawi dan sebaliknya dari 21 hingga 23 Februari ini.

Ia berikutan paras air laut dijangka surut di bawah 0.2 meter di kawasan tertentu laut.

Jurucakap JLMWU Kuala Perlis berkata, fenomena air surut yang teruk itu khasnya pada pagi boleh membahayakan feri dan juga penumpang.

Bagaimanapun, khidmat Feri ke Langkawi dari Terminal Kuala Kedah dijangka beroperasi seperti biasa kerana laut di situ tidak terjejas seteruk di Kuala Perlis.

Pembatalan itu membabitkan jadual pergerakan feri jam 8.30 pagi dan 9.30 pagi laluan Kuala Perlis-Langkawi pada tarikh itu termasuk perjalanan dari Terminal Langkawi-Kuala Perlis pada jam 7.30 pagi.

Terdapat dua syarikat menawarkan khidmat dalam laluan itu iaitu Syarikat Langkawi Ferry Liner Ventures dan Dragon Star.

“Berikutan itu terdapat permohonan daripada Syarikat Langkawi Ferry Liner Ventures kepada JLMWU untuk turut membatalkan lain-lain perjalanan antara Langkawi ke Kuala Perlis dan sebaliknya selain daripada tiga waktu perjalanan yang diarahkan batal ini,” katanya hari ini.

Sementara itu, jurucakap Syarikat Langkawi Ferry Liner Ventures ketika dihubungi berkata, setakat ini tiada pembelian tiket dicatatkan pada tarikh itu dan notis pembatalan perjalanan feri pada tarikh berkenaan akan dipaparkan di Terminal Kuala Perlis-Langkawi dan Terminal Langkawi-Kuala Perlis.

Pelancong yang mahu menggunakan Terminal Kuala Perlis dinasihatkan merangka perjalanan terlebih dulu dan memilih tarikh lain selain tarikh terbabit.

Sebagai alternatif, mereka boleh menggunakan perkhidmatan feri dari Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:46 PM