Suhaila Shahrul Annuar


WISMA Putra sudah memohon kepada kerajaan Kemboja supaya 47 warga Malaysia yang ditahan di Banteay Meanchey, Kemboja dibebaskan segera.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau sudah menghubungi rakan sejawatnya yang juga Timbalan Perdana Menteri Kemboja hari ini supaya mereka dapat dibebaskan segera.

“Saya menekankan bahawa Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang Kemboja dan kerajaan Malaysia sentiasa mengingatkan rakyatnya supaya mematuhi undang-undang tempatan di mana juga mereka berada.

“Dalam hal ini, Malaysia memohon pertimbangan ke atas perkara ini dapat dipercepatkan supaya mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga segera.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan Malaysia ke atas kerjasama yang diberikan oleh Kemboja terutama dalam membenarkan beberapa lawatan konsular daripada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh ke atas tahanan itu.

“Saya secara peribadi menyampaikan rasa terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja atas keprihatinan beliau dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, beliau sudah memohon supaya Kemboja dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia terbabit terpelihara.

Beliau berkata, dua pegawai kanan Kementerian Luar Negeri terdiri daripada Setiausaha Bahagian Konsular dan Ketua Bahagian Undang-Undang Kementerian Luar Negeri sudah bertolak ke Banteay Meanchey hari ini untuk meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung penahanan warga Malaysia itu.

“Dalam pada itu, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad sudah berada di Banteay Meanchey sejak semalam untuk memberikan bantuan konsular berterusan kepada rakyat Malaysia yang ditahan.

“Lawatan konsular ini adalah susulan kepada bantuan konsular yang diberikan pegawai Kedutaan Besar pada 22 Januari lalu.

“Kedutaan Besar Malaysia juga memudahcara lawatan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama beberapa ahli keluarga tahanan untuk membuat lawatan ke Penjara Banteay Manchey hari ini.

“Atas inisiatif kedutaan, seorang doktor daripada badan bukan kerajaan, Hospital Beyond Boundaries juga turut serta dalam lawatan ini untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada pada tahap baik,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan kes itu dan akan mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga di Malaysia.

Berita berkaitan:

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 10:27 PM