“TERUS terang saya malu dengan keadaan ini dan saya hanya mampu cakap terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan.

“Semoga Allah SWT memberkati anda semua,” kata mualaf Mardinah Dabe Martin, 35, ketika ditemui di rumah sewanya di Perumahan Taman Rakyat Jaya, Kuala Terengganu hari ini.

Ibu tunggal kepada empat anak itu berkata, mereka tidak putus-putus menerima kunjungan sejak semalam selepas kesusahannya tular di laman sosial.

“Ramai datang membantu termasuk jiran tetangga yang kebanyakan baru mengetahui kisah kami.

“Sebelum ini, saya rasa sepi dan sering menangis mengenangkan nasib kami sekeluarga namun hari ini saya kembali bersemangat apabila mereka yang datang tidak putus-putus memberi sokongan moral.

“Orang Terengganu sangat baik termasuk semua agensi kerajaan yang turut bersimpati dengan kami,” katanya selepas menerima kunjungan daripada Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Dungun, Mohamad Hashim.


Mohamad (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada Mardinah di rumahnya hari ini. FOTO Rosli Ilham

Mardinah berkata, empat anaknya, Nur Farah Insyirah Nor Sukaimi, 12; Muhammad Farish Irsyad,10, serta dua anaknya yang hiperaktif, Muhammad Farish Irfaezd, 7, dan Muhammad Farish Irdyad, 6, juga ceria menerima kunjungan orang ramai.

“Saya sebak dan tak mampu berkata-kata kerana terharu dengan keprihatinan masyarakat terhadap kami,” katanya.

Menurutnya, dia kini berharap ada pihak yang menyediakan van sekolah sudi membantu mengambil dan menghantar dua anaknya.

“Saya kasihan pada jiran yang banyak membantu mengambil dan menghantar dua anak selama ini sedangkan dia juga mempunyai anak dan tanggungjawab lain,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, KPDNHEP cawangan Dungun terpanggil membantu keluarga terbabit selepas kisah kesempitan hidup itu dilaporkan.

Menurutnya, barangan makanan dan wang tunai adalah sumbangan daripada semua kakitangan KPDNHEP cawangan Dungun.

“Saya berterima kasih di atas keprihatinan masyarakat termasuk media yang membantu keluarga itu. Moga kehidupan lima beranak itu akan bahagia,” katanya.

Sebelum ini, penderitaan ditanggung ibu tunggal itu tular selepas kisah dua anaknya Nur Farah Insyirah dan Muhammad Farish Irsyad yang belajar di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir Dungun makan sisa makanan di tong sampah.

Berita berkaitan

'Ibu mana yang tak sedih...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 11:10 PM