LIM Keat Oon (dua kiri) bersama ibubapanya, Lim Kim Keir (dua kanan) dan Kuait Jok Sa (tiga kiri) di Kampung Terumbu Lemal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

LELAKI rela hidup membujang demi menjaga kedua ibu bapanya yang sudah tua dan uzur, di Pasir Mas.

Lim Keat Oon, 59, berkata, selepas adik beradiknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, dia mengambil alih tugas menjaga ibu dan ayahnya, Kuait Jok Sa, 87, dan Lim Kim Keir, 91, yang masing-masing menghidap penyakit asma kronik.

Katanya, selain dia, seorang lagi adik bongsunya Lim Keat Kin berusia 30-an yang bekerja di syarikat swasta dan masih belum berkahwin turut tinggal bersama.

"Setiap hari sebelum ke tempat kerja berdekatan rumah, saya akan menyediakan makan dan minum kepada ibu dan ayah terlebih dahulu dan akan pulang semula pada tengah hari atau petang untuk lakukan perkara sama.

"Tidak apalah, biar saya sahaja yang menjaga mereka. Lagipun umur saya sudah tua dan tidak terfikir dengan soal jodoh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Terumbu Lemal, di Pasir Mas, semalam.

Terdahulu, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah menyampaikan hamper dan 'angpau' ketika melawat keluarga berkenaan sempena Program Sentuhan Kasih Tahun Baru Cina 2019.

Hadir sama, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.


WAN Mohd Hasnan (kanan) diiringi Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Azlan Fitri Abdul Rahim (dua kiri) bertanya khabar selepas menyampaikan sumbangan Lim dan isterinya, Kuait sempena Program Sentuhan Kasih PETRONAS Tahun Baharu Cina 2019 di Kampung Terumbu Lemal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Keat Kin berharap, dia diberikan kesihatan yang baik supaya dapat menjaga ibu dan ayah sehingga akhir hayat mereka.

"Selagi diberi kesempatan saya akan terus menjaga mereka seperti mana mereka menjaga saya sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dua abangnya sudah memeluk agama Islam sejak beberapa tahun lalu namun hubungan kekeluargaan tidak pernah putus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 9:22 AM