Muhammad Firdaus (tengah) menunjukkan gambar penunggang motosikal yang melarikan diri ketika sekatan jalan raya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Muhammad Firdaus (tengah) menunjukkan gambar penunggang motosikal yang melarikan diri ketika sekatan jalan raya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


PENGGUNA jalan raya khususnya penunggang motosikal bakal disenarai hitam jika didapati mengelak daripada sekatan jalan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan itu terlebih dulu diberi notis sebelum tindakan senarai hitam diambil mengikut Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, dalam setiap operasi dilakukan akan ada anggota JPJ yang merakam gelagat pengguna jalan raya yang sengaja mengelak.

“Selepas kenderaan itu dikenal pasti JPJ akan mengeluarkan Notis 114 untuk pemilik hadir dalam tempoh 21 hari.

“Jika mereka gagal hadir untuk temu siasat, kompaun RM150 dikenakan serta akan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Bersama Pengamal Media Sempena Penutupan Ops Tahun Baru Cina (TBC) 2019.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohammad Afdhal Mohd Ruslan di Pejabat JPJ Bukit Katil hari ini.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, sepanjang Ops TBC 2019 bermula 29 Januari hingga 12 Februari lalu, 1,236 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, motosikal merekodkan bilangan terbanyak diambil tindakan dengan 329 dan kesalahan tertinggi membabitkan pelesenan kenderaan 355,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 8:09 PM