Anggota APM menunjukkan ular berjaya ditangkap. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

[email protected].

TIGA anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap berdepan cabaran getir ketika menangkap sepasang ular tedung senduk yang agresif kerana ‘mengganggu’ reptilia itu mengawan.

Kejadian disedari pekerja di Lembaga Getah Malaysia (LGM), Padang Sanai, pada jam 9.20 malam tadi selepas terdengar bunyi dengusan ular di belakang tong hitam di bilik itu ketika sedang melakukan pemeriksaan di luar bilik pemprosesan getah.

Pegawai APM Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.26 malam dan bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, sepasukan anggota tiba jam 9.28 malam dan operasi diketuai Ketua Skuad, Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya bersama dua anggota.

“Sebaik menyedari kehadiran kami, dua ular tedung senduk itu bertindak agresif, namun anggota dapat menangkapnya menggunakan peralatan khas.

“Sepasang ular tedung senduk itu masing-masing berukuran satu meter dan berat 1.5 kilogram dipercayai sedang mengawan dan mungkin berasa terancam menyebabkan mereka bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shukri berkata, penduduk yang menetap di daerah ini perlu berhati-hati kerana cuaca yang semakin panas menyebabkan ular keluar lebih banyak untuk mencari tempat perlindungan dan sumber makanan.

“Orang ramai perlu memeriksa terlebih dahulu di kawasan tandas, bilik tidur, dapur dan kawasan terlindung yang sering menjadi tempat persinggahan reptilia ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:31 AM