PEMUZIK sape memulakan persembahan selama 50 jam yang akan berakhir Ahad ini. FOTO Kandau Sidi


ALUNAN muzik tradisional masyarakat Orang Ulu ‘sape’ bakal mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records apabila dimainkan selama 50 jam tanpa henti, bermula jam 10 pagi tadi.

Acara yang diadakan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri disertai seramai 54 pemain muzik sape handalan dari daerah Baram, Tinjar dan Belaga.

Cubaan untuk mencatat rekod baharu itu dianjurkan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan RTM Miri itu bertujuan memelihara dan mengekalkan warisan seni dan budaya masyarakat Orang Ulu.

Pengarah Penyiaran Sarawak, Zainal Abidin Asri Abdul Wahid berkata, usaha itu selari dengan dasar kerajaan serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Sarawak menjelang sambutan Tahun Melawat Sarawak 2019.

“Sepanjang acara yang akan berakhir Ahad ini, 59 melodi ‘sape’ akan dimainkan secara bergilir-gilir tanpa henti selama 50 jam.

“Acara itu turut disiarkan secara langsung menerusi siaran radio RTM seluruh Sarawak dan lintas langsung di Selamat Pagi Malaysia,” katanya di majlis perasmian acara itu hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Eksekutif, Sektor Korporat SEB Sarawak, Aishah Eden.

Beliau berkata, acara itu adalah sebagai landasan untuk memupuk semangat kecintaan terhadap tradisi dan budaya masyarakat Orang Ulu.

Sementara itu, Aishah berkata, menjadi tanggungjawab SEB untuk memupuk dan menggalakkan generasi muda meminati muzik sape.

“SEB akan terus menyokong usaha masyarakat Orang Ulu untuk memulihara muzik ‘sape’ supaya tidak dilupakan dan menjadi aset komuniti itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 3:42 PM