KEADAAN dinding rumah sarang burung walet yang dipercayai dipecah masuk. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


DUA lelaki tidak sempat berjoli dengan hasil sarang burung yang mereka curi apabila diberkas ketika menceroboh masuk ke dalam rumah sarang burung walet di Skim B, SARIKEI, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, kedua-dua suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu dicekup oleh pemilik sarang burung berkenaan kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, kegiatan kedua-dua lelaki terbabit disedari oleh penjaga rumah burung itu sebelum memaklumkan kepada majikannya.

“Sebaik sahaja menyedari kejadian itu, pekerja rumah burung itu memberitahu majikannya.

“Dua suspek iaitu seorang rakyat tempatan dan warga Indonesia diberkas sebelum diserahkan kepada polis

“Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes itu masih disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 4:00 PM