SAIFUDDIN (tengah) bersama Pengetua SMK Alor Akar, Asruddin Abas (kanan) ketika hadir merasmikan Dewan Jubli Emas, di SMK Alor Akar. Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KERAJAAN Arab Saudi tidak memberikan sebarang alasan berhubung penangguhan lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman ke Malaysia yang dijadualkan Isnin depan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Menteri Negara Untuk Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir menghubunginya malam tadi untuk memaklumkan mengenai perkara itu.

“Putera Mahkota Arab Saudi dukacita kerana tidak dapat datang ke Malaysia dan Indonesia seperti dijadualkan, ia ditangguhkan ke satu tarikh akan ditetapkan kemudian.

“Mereka tidak memberikan sebarang alasan, lazimnya dalam dunia diplomatik kita tidak menyoalnya dan saling memahami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lautan Kasih Hamparan Budi dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar di Kuantan, hari ini.

Mengikut laporan media sebelum ini, tujuan lawatan kerabat diraja Arab Saudi itu ke Malaysia adalah bagi membincangkan isu ekonomi dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Saifuddin berkata, masalah pentadbiran dan logistik menyebabkan semua 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan dari sebuah penjara di Poipet, Kemboja, terlepas penerbangan untuk pulang ke tanah air, hari ini.

Katanya, kesemua mereka sepatutnya menaiki pesawat Air Asia pada jam 8.30 pagi ini mengikut waktu Kemboja.

Beliau juga sudah mengarahkan pegawainya untuk melihat jika masih ada kekosongan pesawat AirAsia pada Isnin atau mencari alternatif lain supaya urusan membawa pulang dilakukan secepat mungkin antaranya mempertimbangkan menggunakan pesawat tentera.

“Usaha membawa pulang mereka akan diteruskan esok yang mempunyai 20 kerusi bagi penerbangan keluar dari Phnom Penh ke Malaysia dan pihaknya pada masa sama juga mencari alternatif lain, kita jangkakan kesemua mereka akan dapat pulang selewat-lewatnya Isnin ini.

“Ada beberapa orang daripada mereka tidak mempunyai pasport, mungkin hilang atau diambil oleh pihak tertentu dan pagi ini, pegawai Kementerian Luar mengeluarkan dokumen perjalanan kecemasan kepada mereka untuk urusan balik,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, bersetuju membebaskan 47 rakyat negara ini selepas mereka ditahan tanpa perbicaraan selama 65 hari.

Mereka ditahan di Kemboja pada Oktober lalu selepas ditawarkan pekerjaan oleh sebuah ‘agensi pekerjaan’ di negara itu.

Mereka dijanjikan gaji dalam dolar Amerika untuk bekerja sebagai promoter bagi sebuah produk elektronik terkemuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 4:41 PM