LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nor Akmar Samudin


CADANGAN penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) antara

Jalan Esfahan berhampiran kompleks beli belah Sogo hingga ke Jalan Melayu di Kuala Lumpur bermula 15 Mac ini menerima reaksi berbeza daripada peniaga.

Setiausaha Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, majoriti penjaja gembira dengan tapak baharu walaupun ada sebilangan kecil memilih untuk berniaga di tapak lama.

“Ia membolehkan penempatan baharu untuk bazar Ramadan di sepanjang jalan itu lebih selesa, bersih dan tersusun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, peniaga di rumah kedai pula akan melakukan bantahan dengan menutup sementara kedai mereka jika penutupan jalan itu dilaksanakan pada 15 Mac ini.

“Ini kerana mereka bimbang pelanggan sukar datang ke kedai kerana jauh untuk berjalan kaki,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Zamri berkata, persatuan peniaga juga kurang bersetuju dengan permohonan bazar Ramadan dibuat menerusi talian kerana peniaga kecil sukar untuk mengisi borang terbabit.

“Kami sudah merayu kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur agar permohonan seperti biasa.

“Persatuan juga mahu dengan adanya penempatan baharu itu, bazar Ramadan di Jalan Masjid India ditutup,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Khalid Abdul Samad yang tidak lagi meluluskan tapak bazar Ramadan anjuran NGO dan orang perseorangan yang konon mengambil kesempatan dengan mengenakan kadar sewa tinggi kepada penjaja, menimbulkan kebimbangan kepada peniaga.

“Persatuan dan NGO bimbang ahlinya yang menjadi peniaga tradisi di bazar Ramadan tidak mendapat tapak niaga tahun ini.

“Ini kerana belum tentu ahli berjaya mendapatkan tapak yang dipohon secara dalam talian kerana terpaksa bersaing dengan orang luar,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, DBKL hari ini mengumumkan penurunan kadar bayaran Bazar Ramadan WPKL 2019 untuk memberi peluang perniagaan kepada lebih ramai peniaga dan usahawan kecil.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat (DBKL) Norhaslinda Nordin berkata, inisiatif itu diambil selepas melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang membuat permohonan untuk berniaga di bazar.

“Sebelum ini peniaga bagi kategori A iaitu di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman perlu membayar RM3,900, namun jumlah itu dikurangkan kepada RM1,494.

“Bagi kategori B yang membabitkan bazar juadah berbuka pula, DBKL menurunkan kadar bayaran kepada RM406 berbanding tahun sebelumnya iaitu RM873, “ katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, permohonan dibuka sehingga 14 Mac ini dan dalam tempoh empat jam pertama talian dibuka, sebanyak 150 permohonan diterima oleh DBKL

Berita berkaitan:

'[UPDATE] Ada pula tak puas hati

'Jalan TAR ditutup mulai 15 Mac ini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 7:49 PM