ABDUL Karim memeluk anaknya yang dibebaskan pihak berkuasa Kemboja. FOTO ihsan Abdul Karim Abdul Rahman
ABDUL Karim memeluk anaknya yang dibebaskan pihak berkuasa Kemboja. FOTO ihsan Abdul Karim Abdul Rahman
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEORANG bapa menempuh perjalanan beribu kilometer, selain tidak tidur selama 24 jam demi melihat pembebasan anak lelaki kesayangannya di depan mata.

Pada mulanya, Abdul Karim Abdul Rahman, 55, ke Siam Reap, Kemboja untuk melawat anak lelakinya, Abdul Mustaqqim, 24, yang ditahan di Penjara Wilayah Banteay Mancheay, Jumaat lalu.

Namun, dia dikejutkan dengan perkhabaran gembira apabila anak lelakinya bersama 46 lagi warga Malaysia yang ditahan sejak 11 Disember tahun lalu dibebaskan pihak berkuasa Kemboja atas arahan Perdana Menteri Hun Sen, susulan kejayaan proses rundingan kedua-dua negara.

Menceritakan detik terindah itu, Abdul Karim berkata, dia bersama seorang rakan mengambil penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur sebelum ke Siam Reap, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak tidur seharian kerana tidak sabar bertemu anaknya yang 'terputus hubungan' sejak 65 hari, selain khuatir terlepas penerbangan ke Kemboja.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap, saya menaiki teksi terus ke penjara yang mengambil masa lebih satu jam.

"Tiba di penjara, saya tidak dibenarkan masuk kerana masih belum tiba waktu untuk melawat dan terpaksa berteduh di bawah pokok dalam keadaan cuaca yang panas," katanya ketika dihubungi NSTP.

Dia berkata, ketika menunggu dia menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pegawai bertugas Wisma Putra memaklumkan anaknya bersama tahanan lain bakal dibebaskan.

Katanya, walaupun kepenatan menempuh perjalanan jauh, selain berdepan cuaca panas, ia tidak sesekali menjadi halangan, malah semangatnya berkobar menanti detik anaknya dibebaskan.

"Petang Jumaat, adalah saat yang dinanti selepas saya menyambut pembebasan Abdul Mustaqqim jam 6.45 petang.

"Kami berpelukan dan Abdul Mustaqqim meminta maaf kerana menyusahkan keluarga atas kejadian yang berlaku... Jumaat yang penuh barokah untuk kami sekeluarga," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana kedatangannya untuk melawat bertukar kepada berita gembira yang tidak disangka.

Abdul Karim berkata, tiada kata mampu diucapkan selain berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Kemboja dan kerajaan Sarawak, termasuk semua pihak yang bersusah payah merealisasikan usaha pembebasan ini.

Abdul Mustaqqim antara 46 rakyat Malaysia yang diberi pembebasan oleh kerajaan Kemboja pada Jumaat lalu selepas beberapa siri rundingan diadakan.

Mereka ditahan di sebuah rumah oleh polis Kemboja pada 11 Disember lalu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian.

Namun, dakwaan itu disangkal kerana semua yang ditahan mendakwa ke negara berkenaan selepas menerima tawaran sebagai promoter jenama elektronik terkenal.

Berita berkaitan:

'47 rakyat Malaysia pulang esok

'Derita 65 hari berakhir'

[UPDATE] 47 warga Malaysia di Kemboja bebas

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 9:33 AM