SEORANG daripada tahanan Kemboja yang tiba bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Nurmadiana Mohd Hamzah, menceritakan pengalaman yang dilaluinya. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi; Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Muhd Amirul Faiz Ahmad

SEMUA urusan dokumentasi pengambilan 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan di Kemboja diuruskan agensi pekerjaan 'halimunan' menerusi aplikasi WeChat.

Malah tiket penerbangan semua mangsa dengan 40 daripadanya berasal dari Sarawak, tiga dari Sabah, tiga dari Selangor dan seorang dari Kuala Lumpur ke negara itu, lebih dua bulan lalu dihantar agensi terbabit menerusi WeChat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia didedahkan beberapa mangsa yang 'diselamatkannya' di Kemboja, Jumaat lalu.

Beliau menjelaskan semua mangsa mengakui tertarik dengan gaji sebanyak AS$1,000 (RM4,084) yang ditawarkan tanpa mengetahui latar belakang agensi terbabit.

"Melihat gaji yang ditawarkan, mereka tidak berfikir panjang dan meneruskan perbincangan untuk ke negara berkenaan menerusi komunikasi WeChat dengan agensi terbabit.

"Itu sahaja yang mereka ceritakan dan saya juga tidak berhasrat untuk membuat siasatan lanjut kerana misi utama saya ialah membawa mereka balik ke Malaysia dengan selamat," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), hari ini.

Fatimah yang diiringi Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak -Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh bersama 43 bekas tahanan termasuk tiga dari Sabah tiba di LTAK dari Siem Reap, Kemboja, 2.15 petang tadi.

Mereka menaiki pesawat Airbus 320-214 JCInternational Airlines disewa khas oleh Kerajaan Sarawak yang ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri, manakala empat bekas tahanan di Semenanjung menaiki pesawat AirAsia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pagi tadi.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihaknya kini menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti agensi pekerjaan terbabit.

"Misi kami sudah selesai dan kini kami serahkan semuanya kepada polis termasuk untuk mengenalpasti sama ada agensi pekerjaan terbabit didalangi rakyat Sarawak," katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, urusan membawa balik semua bekas tahanan itu dipermudahkan dengan bantuan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan serta pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja.

"Tanpa bantuan beliau (Dr Othsman) tidak mungkin kami selamat tiba di Kuching hari ini kerana kebetulan urusan membawa mereka balik itu jatuh pada hujung minggu yang mana semua pejabat kerajaan tidak beroperasi.

"Kami menghadapi pelbagai kesulitan termasuk untuk mendapatkan pelepasan semua bekas tahanan dari Penjara Wilayah Banteay Meanchey, mendapatkan pesawat termasuk meminta kebenaran melalui ruang udara Indonesia dan Singapura, namun semuanya ditangani Dr Othsman dengan baik," katanya.


KUCHING 17 FEBRUARI 2019. Abdul Mustaqqim Abdul Karim 24, bersama bapanya Abdul Karim Abdul Rahman, 55, tidak dapat menahan airmata kegembiraan ketika bertemu ibunya, Noor Kamariah Abdullah @ Phyllis Thomas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. NSTP/IHSAN SUMBER.

Sementara itu, seorang daripada mangsa, Abdul Mustaqqim Abdul Karim, 24, berkata, sindiket secara halus mengiklankan tawaran kerja bergaji lumayan itu dengan dirinya ditawarkan gaji berjumlah AS$1,200 bersamaan RM4,901.40 sebulan.

“Siapa yang tidak ‘tertawan’ dengan gaji yang begitu lumayan. Saya ditawarkan bekerja sama dalam bidang perhotelan dan sebagai tukang masak. Namun, apabila sampai di Kemboja, pada Oktober lalu, lain pula ceritanya kerana saya dan puluhan lagi rakyat Malaysia dikumpul dalam dua rumah banglo di Poipet.

“Kami (rakyat Malaysia) ditahan dalam banglo itu tidak dapat bercakap antara satu sama lain. Kami hanya berjumpa jika tiba waktu makan. Setiap gerak geri kami dipantau dengan setiap pintu bilik dipasang kamera litar tertutup,” katanya selepas mendarat di LTAK.

Kesemua warga Malaysia itu secara simboliknya diserahkan secara rasminya kepada Kerajaan Malaysia 4 petang semalam (waktu tempatan) oleh Menteri Kanan Tugas Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan sejurus selesai segala urusan dokumentasi imigresen.

Abdul Mustaqqim ketika mengulas lanjut berkata, dia menasihatkan orang muda agar insiden menimpa rakyat Malaysia di Kemboja dijadikan iktibar supaya jangan terlalu mudah mempercayai gaji lumayan bekerja di luar negara.

“Bukan semua iklan tawaran itu bohong, cuma saya nasihatkan dapatkan bantuan daripada keduataan Malaysia di negara berkenaan dulu, periksa sama ada adakah wujud pekerjaan yang diiklan sepadan dengan gaji ditawarkan,” katanya.

Katanya, pengalaman ditahan di banglo berkenaan cukup menakutkan dengan tiada seorang pun dapat melepaskan diri kerana kesemua 47 rakyat Malaysia akan diancam keselamatan nyawa.

“Seorang daripada kami cuba meloloskan diri hampir dua bulan ditahan dalam banglo itu, cubaan untuk melepaskan diri gagal selepas dia dibelasah beramai-ramai oleh penjaga kami seperti menghantar mesej supaya jangan sesiapa berani keluar,” katanya.

Sementara itu, Nur Muhammad Arif Bokhari, 23, berkata, beliau juga ditawarkan dengan taraf gaji sama dengan bekerja dalam bidang perhotelan di negara berkenaan.

“Sejurus tiba di banglo itu, telefon bimbit dan pasport dirampas dan kami dibenarkan berhubung dengan ahli keluarga seminggu sekali. Pengalaman ditahan di banglo dan dipenjara lebih 60 hari begitu perit dan biarlah kami ingatinya sampai ke akhir hayat,” katanya.

Berita berkaitan:

'47 rakyat Malaysia pulang esok

'Derita 65 hari berakhir'

[UPDATE] 47 warga Malaysia di Kemboja bebas

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:47 PM