ANTARA individu leka bermain judi bola golek tidak sempat melarikan diri apabila ditahan polis di Taman Perindustrian Pulau Indah. FOTO Ihsan Polis
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


SEMBILAN kaki judi bersama tujuh penganjur yang leka bermain judi bola golek di dua lokasi berasingan sekitar Klang, malam tadi, tidak sempat melarikan diri apabila diserbu polis.

Serbuan dijalankan bermula jam 8 malam di kaki lima deretan rumah kedai Jalan Perigi Nenas, Taman Perindustrian Pulau Indah dan kawasan perumahan di Jalan Sungai Chandong 9, Bandar Armada Pulau Indah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, semua ditahan berusia 16 hingga 50 tahun terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing.

Menurutnya, lokasi berkenaan diserbu selepas dipercayai aktif dengan judi bola golek sejak dua bulan lalu.

“Empat penganjur ditahan di lokasi pertama dan bakinya ditahan di lokasi kedua bersama sembilan kaki judi lain.

“Polis merampas pelbagai peralatan judi termasuklah tikar, bola golek, lampu, penimbang air dan wang tunai RM2,054,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, penganjur mensasarkan premis dan kediaman majoritinya didiami warga asing untuk kegiatan judi bola golek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 10:08 PM