Supian (kiri) menunjukkan tempat kejadian yang meragut nyawa anaknya kepada Abdul Yunus (kanan). FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


KEADAAN rumah didiami keluarga arwah Nur Qaisara Medina Supian, 2, yang maut akibat tertusuk pisau di Parit Telok Pial Baroh, Kuala Kurau di Parit Buntar, sangat memilukan.

Situasi itu disaksikan wartawan Harian Metro ketika mengikuti Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari yang hadir menziarah kediaman keluarga berkenaan, malam tadi.

Rumah didiami lapan beranak, termasuk arwah Nur Qaisara Medina dan neneknya yang berusia 86 tahun bukan saja sangat uzur, malah ia tidak selamat didiami.

Abdul Yunus mengakui bukan sahaja terkejut dengan kejadian menimpa arwah, malah beliau tersentuh hati melihat kediaman mangsa yang daif itu.

“Saya turut melahirkan rasa simpati pada keluarga ini atas kejadian yang menimpa anak keempat mereka.

“Hasil kunjungan tadi, amat mengejutkan kerana keadaan rumah mereka yang uzur dan tidak selamat diduduki.

“Dengan keadaan sedemikian sudah pasti keluarga ini layak dibantu dan saya sendiri akan usahakan bantuan sewajarnya terhadap keluarga ini,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Abdul Yunus hadir bersama Ahli Majlis Daerah Kerian ke rumah keluarga arwah itu bagi menyampaikan bantuan awal sumbangan kerajaan negeri untuk meringankan beban keluarga itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pegawai Daerah Kerian bagi membolehkan keluarga berkenaan memiliki rumah di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) di Bagan Tiang, Tanjung Piandang yang dalam proses pembinaan.

“Sekiranya keluarga masih mahu mendiami kediaman ini, saya akan usahakan bantuan yang wajar seperti baik pulih lantai, dinding dan bumbung yang usang dan membahayakan keluarga ini.

“Dalam masa sama saya akan memastikan pihak berkaitan ambil perhatian dalam membantu keluarga ini dari pelbagai sudut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan media di kediaman keluarga ini mendapati suasana sugul menyelubungi ahli keluarga dan penduduk kampung.

Bapa mangsa Supian Samsuri, 42, ditemui, kelihatan sebak, namun reda dan menganggap kejadian yang menimpa anaknya Nur Qaisara Medina sebagai ketentuan Allah.

Harian Metro, semalam, melaporkan dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi, mangsa tertusuk pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter di bahagian kiri perut yang terbenam hingga paras hulu pisau.

Mangsa dikatakan berlari di dapur rumah untuk meminta neneknya membuatkan susu, namun terpijak pinggan plastik yang ada pisau di atas lantai sebelum terjatuh dan tertusuk di bahagian kiri perut.

Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan berlebihan akibat tikaman di perut.

Berita berkaitan

Tragedi anak terjatuh tertusuk pisau [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 1:18 AM