Mayat lelaki dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu yang hampir reput ditemui oleh pencari ketam nipah di atas timbunan daun nipah yang sudah dipotong di tepi Sungai Semerak, Pasir Puteh sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MAYAT lelaki yang hampir reput ditemui di kawasan paya nipah di tepi Sungai Semerak, Pasir Puteh, semalam.

Mayat berkenaan ditemui 5 petang oleh pencari ketam nipah yang ternampak jasad yang berada di atas timbunan daun nipah yang sudah dipotong.

Pencari ketam, Mahadi Ramli, 47, berkata, dia terkejut dengan penemuan lelaki itu sebelum membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku.

Katanya, pada masa sama, keluarga mangsa juga tiba di balai polis berkenaan untuk melaporkan kehilangan anggota keluarga mereka sejak tiga hari lalu.

Keluarga mangsa yang enggan dikenali mengesahkan mangsa adalah keluarga mereka dari Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu.

Katanya, pengecaman dibuat berdasarkan motosikal yang digunakan mangsa untuk ke lokasi berkenaan dan juga pakaian terakhir yang dipakai tiga hari lalu.

“Mangsa memaklumkan untuk ke Kampung Sungai Selut untuk mencari daun nipah bagi menahan sotong menggunakan bubu.

“Mangsa menghidap penyakit lelah dan lemah jantung berdasarkan ubat dan rawatan awal yang pernah diambilnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 1:13 PM