APM Kota Tinggi menangkap ular tedung selar seberat 10 kilogram di Perpustakaan Desa Kampung Semangar Dalam, Kota Tinggi. FOTO Ihsan APM Kota TInggi
Nurul Amanina Suhaini


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Tinggi mengambil masa 10 minit menangkap ular tedung selar seberat 10 kilogram yang memasuki Perpustakaan Desa Kampung Semangar Dalam, semalam.

Pegawai APM Kota Tinggi, Mohd Sarul Nizam Khirudin berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang, reptilia sepanjang kira-kira tiga meter itu dikesan masuk melalui siling.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.40 petang sebelum mengerakkan empat anggota ke lokasi.

“Ular berkenaan berkemungkinan sedang mencari makan ditemui di bawah rak buku belakang oleh pegawai perpustakaan.

“Bagaimanapun, ketika kejadian tiada individu lain berada di dalam perpustakaan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Sarul Nizam berkata, ia adalah kejadian pertama diterima pihaknya bulan ini.

“Paling lama untuk tangkap ular adalah kira-kira 10 minit kerana kita menggunakan peralatan khas seperti jerut untuk menangkapnya, sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sarul Nizam menasihati orang ramai yang terserempak dengan reptilia berbisa itu supaya segera menghubungi pihaknya.

“Pastikan persekitaran kediaman dan premis kekal bersih dan sentiasa perhatikan tempat sejuk kerana ketika musim panas, haiwan seperti ular atau lipan mencari kawasan lebih sejuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 7:10 PM