Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Kebesaran SMW kepada Jalil (kiri) ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019 di Istana Negara.

Tahun ini, seorang individu dianugerahkan Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri dan 27 Individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, 36 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 32 individu menerima anugerah Kesatria Mahkota Wilayah, 36 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jalil Marzuki mendahului senarai penerima yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau, yang berkhidmat selama 33 tahun dan bertanggungjawab menyelaras, memantau projek pembangunan mahkamah di seluruh negara serta menyelia Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia, adalah satu-satunya penerima SMW kali ini.

Selain itu, Profesor Ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Harlina Halizah [email protected] yang juga pendakwah dikurniakan Darjah Kebesaran PMW yang membawa gelaran Datuk.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail pula dikurniakan Bintang JMW.

Empat atlet negara termasuk atlet akuatik terjun negara Nur Dhabitah Sabri, yang juga anak jati Kuala Lumpur, turut diberi pengiktirafan dengan dikurniakan AMW.

Pencapaian terbaik Nur Dhabitah apabila mendapat tempat kelima pada Sukan Olimpik, satu pingat perak dan dua gangsa pada Sukan Asia dan dua gangsa pada Sukan Komanwel serta pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Wilayah Persekutuan 2017.

Selain Nur Dhabitah, tiga lagi atlet iaitu Jabriella Teo Samuel, Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat dan Nur Ain Nabilah Tarmizi dianugerahkan pingat PPW.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 3:37 PM