Kenderaan dinaiki mangsa remuk, manakala lori ayam (gambar kecil) terbabas ke laluan bertentangan. FOTO Rasul Azli Samad.
Mohd Hilmie Hussin


SEORANG anggota PLUS Ronda yang parah selepas kenderaan dinaiki dirempuh lori muatan ayam di Kilometer 204.1 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan, meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Abdul Aziz Siraj, 49, berasal dari Muar, Johor, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka beberapa jam selepas kemalangan pada 8.15 pagi itu.

Difahamkan, arwah mengalami pendarahan serius di perut, kaki kiri dan kanan selain patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, ketika kemalangan, mangsa duduk di tempat penumpang hadapan kenderaan jenis Toyota Hilux itu yang dipandu rakannya, Hamid Bahsar, 52.

“Kenderaan mereka dipercayai berhenti di lorong kecemasan arah selatan sebelum lori ayam itu tiba-tiba merempuh daripada belakang.

“Rempuhan menyebabkan lori ayam terbabas ke kanan jalan dan terbalik di laluan bertentangan dengan badan kenderaan merentangi tiga lorong (lorong arah utara).

“Hanya laluan kecemasan sahaja boleh digunakan sehingga kerja pengalihan dan pembersihan selesai,” katanya ketika dihubungi.

Asmadi berkata, mangsa bersama rakannya dan pemandu lori dikenali Mohd Hairey Khamis, 34, cedera namun, mangsa meninggal dunia ketika dalam rawatan.

Beliau berkata, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan di Puspakom.

Berita berkaitan

Takdir si ayam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 6:14 PM